PERMOHONAN KURSUS / LATIHAN SEPANJANG TAHUN MELALUI SISTEM E-LATIHAN KEPADA SEMUA WARGA PEJABAT KETUA PENDAFTAR MAHKAMAH PERSEKUTUAN MALAYSIA (PKPMP) DI SELURUH MALAYSIA
LETTER HEAD 
 
 
 
 
DENGAN EMEL
(3) JK (05)100-7/5
 
27 Mac 2015
 
Semua Pegawai Tadbir dan Diplomatik
Semua Pegawai Kewangan
Semua Pegawai Teknologi Maklumat
Semua Pustakawan
Semua Penolong Pegawai Tadbir
Semua Penolong Pegawai Undang-Undang
Penolong Pegawai Teknologi Maklumat
Penolong Akauntan
Semua Setiausaha / Pembantu Khas
Semua Jurubahasa
Semua Pembantu Tadbir Undang-Undang
Semua Pembantu Tadbir (Perkeranian dan Operasi)
Semua Pembantu Tadbir Kewangan
Semua Pembantu Perpustakaan
Seluruh Malaysia
 
 YBhg. Dato’/Datin/Tuan/Puan,
  
PERMOHONAN KURSUS / LATIHAN SEPANJANG TAHUN MELALUI SISTEM E-LATIHAN KEPADA SEMUA WARGA PEJABAT KETUA PENDAFTAR MAHKAMAH PERSEKUTUAN MALAYSIA (PKPMP) DI SELURUH MALAYSIA
 
 Dengan segala hormatnya saya merujuk kepada perkara tersebut di atas.
 
 2.         Sebagaimana YBhg. Dato’/Datin/Tuan/Puan sedia maklum, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) telah melancarkan penggunaan sistem e-Latihan untuk Pegawai Kehakiman semenjak 15 Mac 2012 yang bertujuan untuk mempermudahkan permohonan menghadiri kursus/latihan sepanjang tahun. Ini adalah selaras dengan Pelan Strategik PKPMP 2011-2015 yang menggalakkan inovasi dalam semua aspek pengurusan dan pentadbiran Jabatan ini.
 
 3.        Untuk makluman YBhg. Dato’/Datin/Tuan/Puan, sistem e-Latihan ini telah diperluaskan kepada semua warga PKPMP berkuatkuasa 1 April 2015. Sehubungan dengan itu, semua permohonan untuk menghadiri kursus/latihan sama ada anjuran PKPMP ataupun Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) perlu dibuat melalui sistem e-Latihan dengan melayari laman sesawang http://elatihan.kehakiman.gov.my bermula 1 April 2015. Namun demikian, adalah diingatkan bahawa setiap permohonan untuk menghadiri kursus/latihan melalui e-Latihan ini perlulah mendapat kelulusan Pengarah Negeri/Ketua Bahagian masing-masing terlebih dahulu.
 
 4.         Bagi memberi gambaran yang lebih jelas berkenaan dengan cara penggunaan sistem e-Latihan ini, dilampirkan Manual Penggunaan Sistem e-Latihan untuk rujukan dan panduan YBhg. Dato/Datin/Tuan/Puan. Manual penggunaan ini juga boleh diakses di laman sesawang kehakiman http://elatihan.kehakiman.gov.my/manualpengguna.pdf pada menu sebelah kanan yang bertajuk “Manual e-Latihan”.
 
5.         Untuk makluman YBhg. Dato’/Datin/Tuan/Puan jua, data permohonan secara atas talian ini akan disimpan di dalam sistem bagi tempoh 1 tahun sahaja. Data-data ini akan dipadam secara otomotik apabila tempoh 1 tahun tersebut tamat. Selain daripada itu, kehadiran peserta ke kursus/latihan yang dipohon melalui sistem elatihan ini akan direkodkan dan dikemaskini secara otomatik ke dalam Buku Log sistem e-Latihan.
 
 6.         YBhg. Dato’/Datin/Tuan/Puan adalah diminta untuk mengisi Buku Log dalam sistem e-Latihan bagi semua kursus/latihan (termasuk kursus in-house) yang telah dihadiri oleh YBhg. Dato’/Datin/Tuan/Puan semenjak dari tahun 2013 hingga bulan Mei 2015 pada atau sebelum 31 Mei 2015. Ini adalah bagi membolehkan Unit Latihan dan Pembangunan Kapasiti Kehakiman mempunyai rekod kehadiran kursus/latihan warga PKPMP bagi mengelakkan pencalonan peserta yang sama bagi setiap kursus/latihan yang ditawarkan.
 
 7.         YBhg. Dato’/Datin/Tuan/Puan adalah selanjutnya diminta untuk mengemaskini maklumat peribadi terkini di dalam sistem e-Latihan dari semasa ke semasa (sekiranya perlu) bagi mengelakkan maklumat yang salah digunakan oleh Unit Latihan dan Pembangunan Kapasiti Kehakiman.
 
 8.      Sekiranya YBhg. Dato’/Datin/Tuan/Puan mempunyai sebarang pertanyaan berkenaan sistem ini, YBhg. Dato’/Datin/Tuan/Puan bolehlah menghubungi Encik Usup Bin Keram (Bahagian Teknologi Maklumat) di talian 03 – 8880 4030 atau melalui emel usup@kehakiman.gov.my. Bagi lain-lain pertanyaan, YBhg. Dato’/Datin/Tuan/Puan, bolehlah menghubungi Encik Zaihas Mohd Syakir Bin Hasfar (Unit Latihan dan Pembangunan Kapasiti Kehakiman) di talian 03 – 8880 3528 atau melalui emel zaihas@kehakiman.gov.my.
 
9.         Semoga pelancaran sistem e-Latihan kepada semua warga PKPMP di seluruh Malaysia ini dapat membantu semua warga PKPMP di dalam merancang kursus/latihan yang akan dihadiri sepanjang tahun. Segala kerjasama YBhg. Dato’/Datin/Tuan/Puan di dalam perkara yang tersebut di atas didahului dengan ucapan terima kasih.
 
 Sekian.
 
 
"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”
 
 
Saya yang menurut perintah,
 
               
ROSLAN BIN HAJI ABU BAKAR
Ketua Pendaftar
Mahkamah Persekutuan Malaysia
Total visitors to the Portal : 82,841Pelawat: Hari Ini: 300
Last updated : 23 June 2017